HUTANG
Trending

Nak Buat Hutang Perlu Tahu 7 Perkara Ini, Elak Sangkut Hujung Bulan

Buat hutang bukan perkara main-main. Pihak bank boleh luluskan pinjaman anda tetapi adakah anda boleh bayar setiap bulan?

Hutang antara salah satu sebab ramai individu di Malaysia menjadi muflis. 

Mungkin ada yang bertanya, jika pihak bank sudah luluskan pinjaman tersebut, bukankah itu bermakna peminjam mampu untuk bayar semula setiap bulan?

Kami ingin kongsikan 7 perkara yang anda perlu tahu sebelum memohon sebarang bentuk pinjaman dengan pihak bank.

1. Jumlah pinjaman dengan pihak bank tidak lebih 50% dari gaji bersih

Ini adalah formula asas jika anda ingin berhutang dengan pihak bank. Pastikan jumlah hutang anda tidak melebihi 50% dari pendapatan bersih yang diterima.

Formula ini bagi memastikan jumlah ansuran bulanan yang dibayar kepada pihak bank tidak membebankan dan tidak menyebabkan kita hilang segala simpanan.

Asas kepada 50% ini terbahagi kepada beberapa jenis hutang seperti rumah, kenderaan & pinjaman peribadi.

Pinjaman perumahan – 35%

Pinjaman kereta – 15%

 

Jika gaji bersih anda adalah sebanyak RM3,000.00 sebulan selepas tolak EPF,SOCCO etc..

Pinjaman perumahan – RM1,050 (35%)

Pinjaman kereta – RM450 (15%)

Berdasarkan kepada pengiraan diatas, dua jenis pinjaman iaitu perumahan & kereta sudah 50% dari jumlah gaji.

Jika ada tambahan hutang lain seperti kad kredit atau pinjaman peribadi, pengurusan kewangan akan sedikit terganggu.

2. Sentiasa ambil takaful/insuran untuk cover hutang. 

Pastikan setiap pinjaman yang anda ambil mempunyai perlindungan takaful/insuran bagi memastikan hutang tersebut tidak ditanggung oleh waris. Kes sebegini biasanya melibatkan pinjaman kenderaan dan perumahan.

Selain itu, pastikan juga jumlah yang dilindungi adalah sama seperti jumlah hutang yang diambil. Tempoh perlindungan takaful/insuran juga mestilah sama seperti tempoh pinjaman yang diambil.

Jika mempunyai lebihan bajet, anda boleh tambah manfaat pampasan penyakit kritikal yang juga penting bagi memastikan semua hutang anda dilindungi jika anda menghidap penyakit kritikal dan tidak lagi bekerja.

3. Sentiasa survey dan ambil tahu kadar faedah/keuntungan terendah

Tidak salah untuk anda survey dahulu kadar faedah/keuntungan yang bank berikan. Ini bagi memastikan anda mendapat kadar keuntungan yang paling rendah.

Sebab itu ramai yang memohon kepada beberapa buah bank dan mempunyai pilihan untuk memilih yang terbaik. Jangan hanya bergantung kepada satu bank sahaja.

Walaupun hanya berbeza sedikit % sahaja, tetapi memberi impak yang besar untuk jangka masa panjang.

4. Minimumkan tempoh pinjaman

Berdasarkan kepada point pertama diatas, jika masih lagi mempunyai kemampuan bayaran, cuba kurangkan tempoh pinjaman seminimum mungkin.

Semakin lama tempoh pinjaman, semakin banyak kos yang anda perlu bayar. Selain itu, tempoh jangka masa panjang juga memberi sedikit pilihan untuk anda membuat penukaran rumah/kereta pada masa akan datang.

Sebaiknya, semua hutang yang anda ambil mestilah diselesaikan sebelum hari anda secara rasminya bersara dari alam pekerjaan.

Jadi anda boleh bersara dan pencen dengan tenang.

Sumber Gambar : Plant:Grow:Reap

5. Sentiasa amalkan tempoh cubaan bayaran bulanan

 Boleh ke aku bayar setiap bulan loan ni? Tak cuba, mana nak tahu kan.

Cara terbaik untuk anda tahu sama ada pinjaman yang bakal diambil ini membebankan atau tidak adalah dengan meletakkan tempoh percubaan.

Jika anda ingin membuat pinjaman dengan ansuran bulanan RM1,000, cuba asingkan setiap bulan dengan jumlah yang sama selama 3 bulan berturut-turut. 

Tempoh tersebut akan membantu anda menilai sendiri tahap sebenar kemampuan anda membuat bayaran ansura setiap bulan kepada pihak bank. Mungkin pihak bank boleh meluluskan pinjaman anda, tetapi bersediakah anda dengan komitmen jangka masa panjang ini?

6. Bayar on time elak penalti/denda

Bayar pada masa yang ditetapkan bagi mengelakkan anda dikenakan denda/penalti mengikut jenis pinjaman anda. Selain itu, bayaran yang lewat juga akan menyebabkan rekod CCRIS anda terkesan.

Jika bayaran lewat ini berterusan sehinggan beberapa bulan, akan menyebabkan segala bentuk permohonan pinjaman yang baru menjadi semakin sukar.

Pastikan anda sentiasa mempunyai disiplin yang tinggi untuk bayar pada masa yang ditetapkan.

7. Jangan berhutang untuk perkara hiburan

Ramai yang sudah mula untuk membuat pinjaman peribadi bagi tujuan seperti kos perkahwinan, perbelanjaan pelancongan, telefon dan lain-lain.

Perkara seperti ini mestilah dielakkan bagi mengelakkan masalah kewangan pada kemudian hari.

Begitu juga dengan pinjaman kereta dan rumah, pastikan pembelian adalah mengikut kemampuan jangka masa panjang dan bukan untuk tujuan menunjuk-nunjuk

Pastikan setiap hutang yang anda miliki adalah untuk tujuan penting sahaja. 

Admin NK

Seorang penulis kewangan dan pelaburan santai untuk bacaan umum. Peminat setia pelaburan saham dan hartanah.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button