INFO KEWANGAN
Trending

Simpanan & Pelaburan : Cara Susun Kewangan Anda Mengikut Kemampuan Dan Matlamat

Pengurusan kewangan dan pelaburan menawarkan beberapa jenis instrumen yang boleh digunakan untuk memberi keuntungan kepada pelabur atau penyimpan.

Di Malaysia, akaun simpanan dan pelaburan yang sering digunakan adalah seperti akaun Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera (ASB), pelaburan saham, pelaburan hartanah dan banyak lagi.

Persoalan yang sering dibangkitkan oleh orang ramai adalah:

Bagaimana untuk bermula?
Manakah yang perlu diambil terlebih dahulu?

Kemampuan Berdasarkan Pendapatan & Perbelanjaan

Sebelum anda merancang untuk membuat pelaburan, semak dahulu kemampuan diri berdasarkan simpanan yang ada serta pendapatan yang diterima setiap bulan. Buat pengiraan aliran tunai setiap bulan dan pastikan anda masih mempunyai baki pendapatan apabila tiba hujung bulan.

Jika hutang sedia ada sudah terlalu tinggi, risiko untuk anda terlibat dalam pelaburan juga adalah tinggi. Oleh sebab itu, anda perlu bersedia untuk menanggung risiko kerugian apabila ingin melakukan sebarang bentuk pelaburan.

Matlamat Kewangan Yang Jelas

Matlamat yang jelas memudahkan anda mencapai apa yang anda ingin dapatkan. Contohnya, jika anda mahu terlibat dalam semua bentuk pelaburan seperti hartanah, saham dan lain-lain lagi, anda perlu buat satu perancangan awal untuk mendapatkan kesemua pelaburan tersebut.

Jika anda gagal untuk merancang dari awal, semakin sukar untuk anda dapatkan matlamat kewangan anda. Jika anda ingin melabur dalam hartanah, elakkan sebarang bentuk hutang yang boleh mengganggu pembiayaan perumahan anda dari diluluskan oleh pihak bank.

Simpanan Kecemasan Untuk Melindungi Kewangan

Konsep asas dalam pengurusan kewangan adalah mempunyai simpanan kecemasan yang mencukupi. Simpanan ini berfungsi sebagai satu dana jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini seperti kerugian dalam pelaburan.

Anda boleh bahagikan simpanan anda kepada dua (2) kategori iaitu simpanan untuk jangka masa pendek (mudah dicairkan) dan simpanan jangka masa panjang (sukar dicairkan). 

Simpanan jangka masa pendek : Tujuannya adalah untuk digunakan ketika waktu kecemasan.


Simpanan jangka masa panjang : Tujuannya adalah sebagai dana persaraan dan pendidikan anak-anak.

Pelaburan Meningkatkan Keuntungan

Apabila sudah mempunyai simpanan yang mencukupi, baru anda boleh merancang untuk sertai pelaburan. Untuk mulakan sebarang bentuk pelaburan, pastikan anda melabur dahulu dalam ilmu. Dapatkan ilmu pengetahuan yang mencukupi melalui kelas atau buku supaya dapat mengurangkan risiko pelaburan anda.

Terdapat pelaburan yang memerlukan anda mendapatkan pembiayaan seperti pelaburan hartanah dan juga tanpa pembiayaan. Setiap alat atau instrumen pelaburan mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri. 

Cadangan kami:

  • Mulakan langkah awal dengan pelaburan hartanah kerana harga rumah yang semakin meningkat.
  • Semakin lama anda tunggu, semakin tinggi kos pemilikan.
  • Gunakan keuntungan sewa yang diterima setiap bulan untuk dilaburkan dalam alat pelaburan lain seperti saham, pembiayaan ASB dan emas.
  • Pelaburan seperti ini tidak akan melibatkan penggunaan pendapatan aktif anda
  • Konsep menggunakan duit orang lain (other people’s money) merupakan satu konsep bagi membantu individu golongan sederhana yang ingin melabur.

Pertahankan Simpanan dan Pelaburan (Perlindungan)

Selain membuat simpanan dan mendapat keuntungan melalui pelaburan, anda juga perlu melindungi simpanan dan pelaburan anda. Pastikan simpanan dan pelaburan anda tidak terjejas jika sesuatu berlaku terhadap diri anda.

Konsep perlindungan ini bagi memastikan anda boleh mencapai matlamat pelaburan yang telah ditetapkan walaupun anda mempunyai masalah kesihatan. Gunakan 5% hingga 10% dari gaji anda untuk melindungi semua simpanan dan pelaburan anda melalui pelan perlindungan Takaful.

Admin NK

Seorang penulis kewangan dan pelaburan santai untuk bacaan umum. Peminat setia pelaburan saham dan hartanah.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button