HARTANAH

Lepas Dapat Kerja Terus Nak Beli Rumah? Rancang Dari Awal Elak Kerugian

Beli rumah pertama selepas tamat belajar kini sudah menjadi satu ikutan yang baik oleh anak muda. Kesedaran yang tinggi serta perkongsian pelbagai ilmu dan pengalaman melalui laman sosial memudahkan orang ramai mengetahui selok belok pembelian rumah seawal mungkin.

Tetapi, perlu juga ambil kira risiko kerugiaan jika anda beli atau melabur dalam hartanah. Walaupun mungkin berisiko rendah, tanpa ilmu pengetahuan yang betul, anda boleh rugi dengan satu jumlah yang besar.

Bagi yang masih belajar di universiti dan merancang untuk beli rumah pertama selepas tiga bulan bekerja, berikut adalah beberapa persediaan yang boleh anda lakukan. 

#1 Tambah Ilmu Terlebih Dahulu

Ketika masih belajar adalah waktu terbaik untuk anda menambah ilmu kewangan dan pelaburan. Dapatkan buku kewangan pertama anda dan baca sehingga habis!

Dapatkan sebanyak ilmu yang mungkin supaya anda dapat terus bertindak selepas mula bekerja. Anda boleh sertai pelbagai seminar hartanah yang dianjurkan. Fokus kepada seminar yang memberi pengetahuan asas kerana yuran seminar masih lagi murah.

Apabila sertai seminar, anda akan berjumpa dengan ramai orang yang mempunyai minat yang sama. Ini adalah masa terbaik untuk anda menambah kenalan dalam bidang hartanah. Belajar jenis strategi yang boleh digunakan dalam pelaburan hartanah.

Selain ilmu kewangan dan pelaburan, belajar juga beberapa ilmu tentang motivasi yang dapat mendorong anda untuk mendapatkan rumah pertama. Kenapa pentingnya motivasi? ramai yang mahu beli rumah pertama tetapi gagal selepas motivasi terhadap perkara lain seperti pergi melancong dan beli kereta mahal lebih tinggi.

#2 Praktikal Ke Alam Hartanah

Salah satu cara praktikal yang anda boleh buat adalah melalui pengurusan rumah sublet. Sublet adalah satu proses apabila anda menyewa sebuah rumah dan kemudian menyewakan semula kepada individu lain selepas melakukan beberapa pembaikan dan pemulihan rumah tersebut.

Melalui kaedah ini, anda tidak perlu memiliki rumah lagi untuk mendapatkan pengalaman mengurus penyewa. Perkara yang anda boleh belajar melalui sublet ketika masih bergelar seorang pelajar adalah sesuatu yang berharga.

Pertama, anda dapat belajar bagaimana untuk memilih sesuatu kawasan yang mendapat permintaan sewa yang tinggi. Jadi, anda tidak akan mempunyai masalah seperti rumah kosong tiada penyewa kerana anda sudah tahu bagaimana untuk mengenalpasti lokasi yang menjadi permintaan orang ramai.

Seterusnya, anda juga dapat belajar bagaimana untuk menapis penyewa atau mencari penyewa dari ‘syurga’. Penyewa dari ‘syurga’ adalah penyewa yang boleh bayar sewa setiap bulan mengikut masa yang telah ditetapkan, mengikut arahan dari tuan rumah dan menjaga rumah dengan baik.

#3 Tambah Simpanan & Kemaskan Pengurusan Kewangan

Persediaan akhir yang anda perlu lakukan adalah simpanan. Untuk beli rumah, anda memerlukan deposit rumah yang tinggi. Oleh sebab itu, simpanan untuk deposit rumah harus bermula sejak dari universiti lagi dan bukannya ketika anda sudah mula bekerja.

Belajar untuk buat duit ketika masih bergelar pelajar lagi. Sekarang, pelbagai cara anda boleh buat duit melalui internet kerana peluang yang ditawarkan adalah sangat luas. Selain melalui internet, anda juga boleh menambah pendapatan melalui perniagaan kecil-kecilan di kampus universiti.

Berapa simpanan yang perlu anda sediakan?Paling baik adalah simpanan yang sama jumlahnya dengan bayaran deposit untuk sebuah rumah yang anda ingin beli. Namun, anda perlu lebih realistik dalam memilih harga rumah. Jika memilih untuk beli rumah yang terlalu mahal pada peringkat awal, mungkin anda akan rasa sedikit sukar.

Mulakan rumah pertama dengan rumah yang mampu milik. Sama ada untuk duduk sendiri atau untuk dijadikan sebagai pelaburan.

Admin NK

Seorang penulis kewangan dan pelaburan santai untuk bacaan umum. Peminat setia pelaburan saham dan hartanah.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button