TIP JIMAT
Trending

Tidak Perlu Jemput Ramai Orang Ke Majlis Perkahwinan Anda Pada Musim Pandemik. Perlukah Perkara Ini Diteruskan?

Majlis perkahwinan merupakan satu majlis yang sangat penting untuk pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga. Tapi bila cakap tentang majlis perkahwinan ni, mula lah pening kepala memikirkan cara nak dapatkan duit dan berjimat. Jadi bagaimana nak berjimat ketika berkahwin lebih-lebih lagi waktu pandemik? Dan perlukah perkara ini menjadi norma baru untuk kita?

#1 Menghadkan Jemputan

Memandangkan kita berada pada musim pandemik Covid-19, majlis secara besar besaran adalah tidak digalakkan sama sekali. Lebih malang, untuk negeri yang berada di kawasan PKPD dan PKP, mereka sama sekali tidak dibenarkan untuk membuat majlis perkahwinan dan hanya boleh melakukan majlis akad nikah sahaja mengikut SOP ditetapkan.

Walaupun selepas pandemik dan sudah dibenarkan untuk membuat majlis, pasangan boleh mengambil kesempatan untuk meneruskan norma baru ini dengan melakukan majlis yang sederhana sahaja. Jemputan boleh diberikan kepada keluarga terdekat dan kawan rapat. Dengan itu, kita dapat menjimatkan kos makanan, kos khemah dan banyak lagi.

#2 Menghantar Jemputan Menggunakan Kad Digital Dan Secara Online.

Sebelum menempah kad jemputan, tanyalah diri sendiri terlebih dahulu. Pernah tak anda menyimpan kad perkahwinan orang lain? Mungkin 98% daripada anda akan menjawab tidak. Tanpa sedar, kad kahwin merupakan perkara yang sangat membazir.

Kad kahwin digital boleh dilakukan dan dihantar kepada keluarga secara online melalui Whatsapp, Twitter, Facebook atau Instagram. Ianya adalah lebih mudah serta menjimatkan memandangkan ramai orang meluangkan masa untuk bermain telefon dan melihat sosial media. Untuk lebih menjimatkan, pasangan boleh membuat sendiri kad digital mereka mengikut contoh dan tutorial di internet seperti yang ditunjukkan disini.

#3 Membuat sendiri Persiapan dan Perhiasan.

Oleh kerana pandemik berlaku, majlis hanya dilakukan secara sederhana. Oleh itu pasangan boleh mengurangkan kos dengan membuat sendiri (DIY) pelamin ringkas, barang hantaran, bunga tangan dan sebagainya. Kita juga boleh menggunakan barang yang sedia ada atau mungkin menggunakan bahan antik dan perabot lama untuk mewujudkan vibe majlis kahwin yang tradisional dan classic.

Sebagai contoh, pengantin perempuan boleh menggunakan bunga kering yang pernah dibelikan oleh pasangannya ketika musim bercinta untuk dijadikan bunga tangan, hiasan atas dulang hantaran dan juga pelamin. Barang yang dibuat sendiri adalah lebih murah berbanding kos upah untuk menghias.

www.carousell.com

#4 Sewa Atau Pinjam Baju Pengantin

Tidak dinafikan memakai pakaian cantik ketika majlis perkahwinan adalah salah satu impian terbesar para gadis. Bagi lelaki juga, semua mesti mempunyai keinginan untuk membeli baju yang baru. Namun kita masih boleh menjadi cantik dan sekaligus jimat dengan meminjam atau menyewa baju pengantin kita. Kebanyakkan baju pengantin hanya digunakan sekali sahaja iaitu pada majlis tersebut, jadi apa salahnya pinjam dari orang lain untuk menjimatkan kos.

#5 Make-up sendiri

Mungkin ramai yang tidak setuju dengan penyataan ini lebih lebih lagi wanita tetapi pengantin boleh menjimatkan kos dengan membuat make-up sendiri. Banyak tutorial telah ditunjukkan di tiktok dan juga youtube untuk make-up pengantin yang simple dan cantik. Pengantin juga boleh meminta bantuan daripada saudara mara atau kawan-kawan yang mahir make-up untuk menjimatkan kos.

Namun, jika masih tidak percaya dengan hasil diri sendiri atau saudara terdekat, maka bolehlah mencari MUA yang make-up dengan harga yang murah dan berpatutan. 

#6 Membuat Survey dan Perancangan Awal.

Musim pandemik atau tidak, tip ini sangat penting untuk menjimatkan kos majlis perkahwinan.  Pasangan yang bakal berkahwin hendaklah merancang perkahwinan mereka sekurang-kurangnya 7 bulan sebelum majlis. Ini adalah bagi mencari harga yang berpatutan bagi service camera man, pelamin, katering makanan dan banyak lagi. Tempoh masa ini juga membolehkan pasangan mencari barang hantaran yang murah atau membeli barang hantaran ketika promosi. Tanpa membuat survey kita mungkin akan membeli barangan yang mahal dan tidak berpatutan.

#7 Meneruskan Norma Baru

Selepas hampir dua tahun hidup didalam pandemik dan mengikut segala SOP, apa salahnya perkara ini diteruskan. Para pengantin tidak perlu lagi membuat pelbagai pembaziran dalam melaksanakan majlis besar besaran. Sebaliknya, duit yang ada boleh digunakan untuk kehidupan selepas berkahwin.

Ringkasnya, majlis perkahwinan bukanlah acara untuk menunjuk-nunjuk tetapi hanyalah majlis untuk meraikan pasangan yang akan memasuki alam baru. Berikutan dengan pandemik Covid-19 yang menjatuhkan ekonomi Malaysia, kita hendaklah berjimat dan merancang majlis secara sederhana. Norma baru yang dijalankan ketika pandemik juga haruslah diteruskan untuk mengelakkan pembaziran.

Nur Izati Zaidi

Nur Izati, a highly passionate history graduated student from National University of Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button