INFO KEWANGAN

Beri Wang Kepada Ibu Bapa Dikira Beban?

Apabila meningkat dewasa, kita mulai sedar kewangan kita bukan sahaja perlu dibahagikan kepada keperluan harian kita sendiri seperti bil elektrik, kos rumah sewa dan makanan harian. Malah kita juga perlu menyediakan sejumlah wang untuk diberikan kepada ibu bapa kita.

#1 Jadi Adakah Ini Beban Bagi Anak?

Sudah tentu tidak! Pengorbanan ibu bapa untuk membesarkan kita tidak akan mampu menandingi jumlah wang yang ada. Oleh itu, janganlah kita merasa terbeban untuk memberikan wang kepada ibu bapa kita. Walaupun mengikut logik duit kita akan berkurang sekiranya diberikan kepada ibu bapa tetapi kita lupa, Allah, yang mengurniakan rezeki hamba-Nya, mempunyai kiraan yang berbeza.

Tahukah anda antara keberkatan rezeki datangnya daripada ibu bapa kita sendiri? Lebih banyak wang yang kita berikan, InsyaAllah akan lebih bertambah rezeki kita. Hal ini turut dikongsikan oleh Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri semasa menjawab persoalan, “apakah hukumnya memberi duit kepada ibu bapa yang mempunyai pencen?”:

“Jika seseorang berbakti kepada ibu bapanya nescaya Allah akan memperbanyakkan rezeki dengan kekayaan luar biasa kepadanya.”

Perkara ini juga dibuktikan dengan pengalaman beberapa orang di laman sosial. Apabila mereka memberikan wang kepada kedua ibu bapa, mereka merasakan duit mereka tak habis-habis! Kehidupan mereka juga menjadi lebih tenang serta rezeki semakin bertambah dari segi kewangan, kesihatan dan sebagainya. Inilah yang dikatakan keberkatan di dalam kehidupan.

#2 Berapa jumlah yang kita perlu diberikan?

Perkara ini sering menjadi tanda tanya oleh ramai pihak. Ada yang berasa malu kerana hanya mampu memberi jumlah yang kecil dan ada juga yang berkira untuk memberikan wang kepada ibu bapa.

Jumlah yang harus diberikan tidaklah bersifat tetap. Ianya berdasarkan kemampuan kita sendiri. Ketahuilah pemberian lebih penting dari jumlah wang. Walaupun dengan jumlah yang kecil, tindakan ini menunjukkan tanda prihatin kita terhadap ibu bapa. Berikut adalah antara cadangan jumlah yang boleh diberikan kepada ibu bapa kita menurut https://www.comparehero.my :

RM 150 untuk bil elektrik

RM300 untuk keperluan dapur

RM 150 untuk insuran

Selain dari keperluan harian, insuran juga perlu diutamakan terutama kepada ibu bapa yang makin berusia.

Jika kita tidak mampu untuk memenuhi semua, maka penuhilah salah satu daripada jumlah tersebut. Namun jika masih tidak dapat untuk memenuhi salah satu dari jumlah tersebut, maka berilah mengikut kemampuan anda sendiri. Pemberian wang ini tidak semestinya perlu memenuhi segala keperluan tetapi cukuplah dengan hanya untuk meringankan beban. Anak juga boleh memberikan 10% daripada gaji bulanan mereka kepada ibu bapa untuk memudahkan proses pengiraan.

Tetapi harus diingatkan, keberkatan ibu bapa bukan sahaja boleh didapati dengan pemberian wang. Anak juga boleh membantu ibu bapa dalam kerja rumah, selalu melawat mereka di kampung, membelikan beberapa barang keperluan dapur dan sebagainya,

Ringkasnya, yakinlah kepada Allah bahawa dengan memberi wang kepada ibu bapa, maka makin luas pintu rezeki kita dibuka. Sentiasalah berbakti kepada ibu bapa kita sebagaimana mereka bersabar dan berkorban menjaga kita.

Nur Izati Zaidi

Nur Izati, a highly passionate history graduated student from National University of Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button