INFO KEWANGAN

Kenapa Wanita Lebih Baik Urus Wang Dari Lelaki?

Dalam menghadapi musim pandemik COVID-19 ini, tidak dinafikan bahawa wanita mempunyai peranan yang tidak kurang pentingnya sama seperti seorang seorang isteri, ibu, guru, tukang masak, wanita berkerjaya, jiran, kerana anda merupakan penasihat kewangan kepada keluarga anda.

Justeru, wanita perlu cerdik mengawal emosi serta bijaksana dalam menguruskan keluarga dan kewangan isi rumah. Contohnya, bagi yang terkesan dengan impak negatif COVID-19, si ibu boleh memasak sendiri hidangan berbanding memesan makanan melalui ‘grab food’.

Tambahan lagi, dengan masa terluang yang ada sepanjang PKPB, si ibu boleh menanam sayur-sayuran seperti cili, pandan, bayam dan pegaga di dalam pasu atau pun di halaman rumah sebagai terapi minda menghilangkan stress yang juga boleh memberi ruang untuk penjimatan perbelanjaan dapur serta sayur lebih mudah dipetik kala diperlukan, ia juga lebih sihat kerana bebas bahan kimia dan racun serangga.

Isteri yang ingin membantu ekonomi suami yang terkesan dengan COVID-19 juga boleh membuat jualan dalam talian mengikut kepakarannya seperti menjual masakan menu tradisi istimewa mahupun menjadi ejen ‘dropship’ produk berjenama.

Perkara-perkara ini sememangnya boleh dijadikan amalan bagi wanita-wanita di dalam keluarga masing-masing untuk mendepani realiti pada hari ini yang semakin mencabar.

Jadi di sini kami kongsikan beberapa perkara yang perlu dititikberatkan oleh para wanita dalam mengurus kewangan keluarga masing-masing.

  1. Elak Boros

Golongan wanita haruslah menahan diri daripada berbelanja boros semasa berbelnja pada hari ini. Hindari diri daripada membeli barangan berjenama mewah sekiranya tidak berkemampuan.

Ada ungkapan yang menyatakan bahawa individu yang mempunyai nilai diri yang tinggi, tidak memerlukan barangan berjenama mahal untuk ditayangkan kepada orang ramai. Kajian psikologi menunjukkan bahawa individu yang mempunyai nilai diri yang rendah cenderung menonjolkan bukti kemewahan palsu sehingga sanggup berbelanja di luar kemampuan bagi menutupi kelemahannya.Namun begitu, jangan pula tersilap tafsir dengan kenyataan ini.

Seandainya wanita tersebut sememangnya seorang bangsawan, hartawan dan dermawan, tidak salah baginya memilih barangan yang berkualiti dan mahal sesuai dengan cita rasanya.

Bagaimanapun, utamakanlah membantu keluarga anda dahulu seperti sanak saudara, jiran tetangga, rakan taulan, mahupun umat seagama di persada antarabangsa yang terkesan dengan pandemik COVID-19 berbanding berbelanja mewah untuk diri sendiri.

  1. Manfaatkan Bantuan

Wanita berkerjaya lazimnya mempunyai kenderaan sendiri untuk ke pejabat mahupun mempunyai aset hartanah sebagai pelaburan. Maka, mereka mempunyai pilihan memanfaatkan insentif kerajaan seperti moratorium pembiayaan sewa beli kenderaan dan pembiayaan bercagar.

Keputusan untuk melaksanakan atau tidak moratorium pembiayaan bergantung kepada prestasi kewangan semasa mereka. Sekiranya diberhentikan kerja akibat COVID-19, maka moratorium selama 6 bulan ini sangat-sangat membantu wanita tersebut dalam mengharungi zaman gawat.

  1. Cakna Dengan Perkembangan Kewangan Semasa

Bagi senario wanita yang masih bergaji penuh, namun pada masa yang sama dibelenggu ‘hutang jahat’ seperti pembiayaan kad kredit, skim ansuran mudah, dan pembiayaan peribadi, maka dia sewajarnya memanfaatkan kelebihan moratorium pembiayaan kereta dan rumah yang diberikan kerajaan untuk menyelesaikan kesemua ‘hutang jahat’nya pada hari ini.

Dalam situasi lain wanita yang bergaji penuh, ada ‘hutang jahat’, namun tiada simpanan atau pelaburan, maka moratorium pembiayaan kenderaan ini boleh digunakan untuk menyimpan atau melabur dalam instrumen kewangan patuh Syariah seperti deposit simpanan tetap, deposit berlandaskan harga emas, simpanan Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera, mahupun pelaburan emas fizikal.

Pertimbangan untuk mengambil moratorium pembiayaan rumah pula memerlukan perbandingan antara keuntungan pelaburan yang akan diperoleh dan kos pembiayaan yang dikenakan oleh bank. Jika kadar keuntungan pelaburan lebih tinggi berbanding kos pembiayaan melaksanakan moratorium, maka pilihan mengambil moratorium adalah bijak.

Bagi mereka yang bergaji penuh serta telah mempunyai simpanan pelaburan yang tinggi, wajarlah mereka menolak moratorium dan membuat bayaran ansuran bulanan seperti biasa.

Oleh itu, wanita perlulah cekap dalam menguruskan kewangan mengikut perkembangan semasa pada hari ini.

Akhir kata, pengurusan kewangan perlulah berdasarkan kemampuan sendiri seperti kata pepatah ‘ukur baju di badan sendiri’. Jadi segala perancangan perlulah dilakukan dengan sangat rapi demi memastikan setiap wang yang dibelanjakan itu mampu mendatangkan hasil dan kesan baik yang maksium kepada diri dan keluarga yang dicintai.

Badrul

Badrul Amin, a history graduate from the National University of Malaysia and likes to study current issues.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button