CUKAI

Kemaskini Bayaran Cukai Untuk Elakkan Hutang Cukai Yang Menimbun

Ramai tahu bahawa proses pengisytiharan dan pembayaran cukai adalah proses yang mudah tetapi tidak semua orang mahu melakukannya.

Bagi anda yang telah mempunyai fail cukai dan mengamalkan penolakan dari gaji bulanan anda, pastinya anda mahu selesaikannya dengan cepat dan mendapat semula ‘refund’ sekiranya anda terlebih bayar cukai.

Walau bagaimanapun, cukai ini boleh menjadi rumit jika anda mempunyai bisnes bersendirian atau pun bekerja sendiri tetapi tidak pernah mendaftar cukai, apa lagi membayarnya.

Lama kelamaan, timbullah rasa malas untuk mengambil berat tentang cukai ini yang akhirnya menyebabkan cukai anda tertunggak dan semakin meningkat dari tahun ke tahun. Sekiranya hal ini berlanjutan, pasti akan ada kesan perlu anda hadapi.

Anda mungkin tertanya-tanya apa akan berlaku jika tidak membayar cukai yang telah ditetapkan?

Jadi disini kami kongsikan apakah kesan-kesan yang bakal anda terima sekiranya anda enggan membayar cukai di Malaysia.

1. Hutang Cukai Akan Terus Bertambah

Jika anda memutuskan bahawa anda enggan membayar cukai pada tahun ini, ia hanya akan merumitkan lagi kehidupan. Dalam senario ini, anda akan dikenakan penalti kerana tidak membayar cukai pada tahun berkenaan.

Sesetengah penalti yang dikenakan adalah penalti bagi kegagalan untuk tidak menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (Seksyen 112(1)), tidak melapor pendapatan yang betul (Seksyen 113) dan kegagalan membayar cukai pada waktunya.

Jika dibiarkan, denda dan penalti yang dikenakan ini akan terkumpul dan sampai satu tahap ia akan menyebabkan anda perlu membayar dengan jumlah yang besar.

2. Perlu Membayar Denda Dan Penalti

Bagi mereka yang tidak membayar cukai, mereka mungkin akan dikenakan penalti jika sabit kesalahan. Penalti adalah denda bayaran yang cajnya adalah mengikut jumlah yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah.

Semakin banyak cukai yang tertunggak, semakin tinggilah penaltinya. Ada kira-kira 15 akta yang telah ditetapkan oleh kerajaan dibawah Akta Cukai Pendatapan (ACP 1967) bagi kesalahan-kesalahan berkaitan cukai ini dan perlu dikenakan penalti atau denda mengikut jenis kesalahan tersebut.

3. Dikenakan Tindakan Undang-Undang

Kesan tidak membayar cukai juga menjadikan anda berisiko dikenakan tindakan mahkamah atau dipenjarakan di atas kesalahan tersebut. Harta benda serta semua barang peribadi anda juga mungkin akan disita oleh pihak kerajaan mengikut berapa banyak nilai cukai yang anda tak bayar.

4. Disekat Dari Keluar Negara

Paling buruk lagi, kesan tidak membayar cukai juga membuatkan anda dihalang daripada keluar negara oleh Jabatan Imigresen. Sekatan perjalanan ini dikenakan ke atas individu atau pengarah syarikat yang gagal menjelaskan cukai pendapatan, cukai keuntungan harta tanah atau cukai korporat.

Kalau nak keluar juga, kena jelaskan dulu tunggakan cukai yang anda ada itu.

Nama anda juga berkemungkinan akan disenarai hitamkan yang memberikan kesan buruk kepada urusan seharian anda terutamanya yang melibatkan dengan kewangan.

Jadi, itulah antara kesan yang bakal dihadapi jika anda tidak bayar cukai.

Walaupun perkara ini adalah penting tetapi masih ramai yang tidak tahu malah tidak mengambil berat tentangnya. Memang amat buruk kesannya jika anda tidak membayar cukai dan lagi teruk apabila kesahan dan denda tersebut akan meningkat jika anda tidak mula untuk membayarnya.

Oleh itu, jadilah rakyat yang bertanggungjawab dengan sentiasa mengemaskini status bayaran cukai anda dan juga sentiasa membayarnya tepat pada masanya untuk mengelakkan dikenakan penalti dan denda yang memberi kesan buruk kepada rekod kewangan anda.

Admin NK

Seorang penulis kewangan dan pelaburan santai untuk bacaan umum. Peminat setia pelaburan saham dan hartanah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button