INFO KEWANGANKELUARGA

Urus Kewangan dan Perbelanjaan Anak Baru Lahir Supaya Tidak Terbeban

Sama ada anda baru mendirikan rumah tangga ataupun telah lama berkahwin, kehadiran cahaya mata pastinya sangat mengujakan para ibu bapa.

Berita tersebut sudah semestinya menggembirakan anda berdua, tetapi pada masa yang sama, pelbagai persoalan turut bermain di fikiran terutamanya soal kewangan. Kehidupan anda yang dahulunya dilalui berdua, kini bakal melalui perubahan yang ketara.

Ketika menanti kehadiran si kecil, kebanyakan pasangan mengabaikan aspek perbelanjaan yang bakal mengiringi cahaya mata mereka.

Hal-hal yang dahulunya tidak penting, kini mula menjadi keutamaan. Contohnya, perbelanjaan untuk membeli lampin, susu dan juga simpanan untuk pendidikan tinggi. Sekiranya anda mula membuat bajet dan pelan kewangan keluarga, besar kemungkinan tidak akan wujud banyak masalah berhubung pelbagai keperluan untuk bakal anak anda.

Ramai diantara ibu bapa yang tersilap pada langkah pertama ini apabila mereka akan membelanjakan wang mereka untuk memberli barang-barang keperluan yang mahal dan berlebihan kerana teruja untuk menimang cahaya mata mereka.

Oleh itu, anda perlulah merancang dengan lebih teliti dan mengelakkan kesilapan pada tempoh masa ini agar masalah yang lebih besar pada masa hadapan mampu dielakkan.

Langkah 1: Ketahui Kedudukan Kewangan Anda

Setiap pasangan ibu bapa pasti setuju bahawa keperluan si kecil mengatasi segala aspek lain. Namun, jangan mengabaikan komitmen kewangan yang sedia ada, seperti pembiayaan rumah, kereta dan sebagainya kerana ia juga sebahagian daripada tanggungjawab yang perlu dipenuhi.

Apabila berbincang tentang perbelanjaan keluarga, anda perlu ingat bahawa perbelanjaan yang akan datang bukan sahaja untuk keperluan bayi seperti baju dan lampin, tetapi juga untuk keperluan ibu, iaitu sebelum dan selepas bersalin.

Langkah 2: Buat Senarai Semak

Senarai semak banyak membantu ketika membuat perancangan kewangan. Anda dan pasangan seharusnya menyenaraikan barangan atau perkhidmatan yang anda rasa perlu mengikut kategori, seperti peralatan untuk perjalanan jauh, perabot bayi, perkakas mandian, pemakanan bayi dan lain-lain.

Dengan menyenaraikannya mengikut kategori, anda dapat mengenal pasti sekiranya terdapat barang keperluan lain yang masih belum disenaraikan. Jangan lupa untuk memasukkan satu kategori iaitu bagi keperluan kecemasan, contohnya apabila isteri terpaksa menjalani pembedahan bagi melahirkan anak atau keperluan perubatan lain yang mungkin terlibat.

Langkah 3: Buat Perbandingan Harga Barangan

Ketika membeli-belah berdasarkan senarai semak anda, jangan terlalu gopoh dengan terus membeli barang pertama yang anda lihat. Luangkan sedikit masa untuk membandingkan harga jenama-jenama yang berbeza.

Pastikan anda mencatat harga barangan tersebut dalam senarai semak anda. Jangan terpengaruh dengan jenama terkenal. Selalunya, anda boleh membeli barang yang sama kualitinya setanding dengan barangan berjenama, tetapi pada harga yang lebih rendah.

Di samping itu, jangan malu untuk bertanya kepada jurujual tentang kegunaan barangan bayi yang dibeli. Kadangkala, barangan yang anda rasa perlu dibeli sebaik sahaja bayi dilahirkan sebenarnya hanya diperlukan apabila bayi anda lebih besar kelak.

Langkah 4: Beli Apa Yang Perlu Sahaja

Setelah selesai membandingkan harga dan barangan yang diperlukan, lihat kembali senarai semak anda. Bezakan antara barangan yang betul-betul mustahak untuk menyambut ketibaan bayi dan apa pula barangan yang boleh ditangguhkan pembeliannya pada kemudian hari. Pada masa yang sama, keluarkan senarai barang yang tidak perlu daripada senarai semak dan tandakan barangan yang boleh ditangguhkan (KIV).

Dengan mengaplikasikan langkah-langkah di atas, adalah diharapkan anda dapat melalui pengalaman indah sebagai ibu dan bapa tanpa perlu risau tentang masalah-masalah kewangan yang mungkin menimpa. Menimang cahaya mata sudah semestinya satu pengalaman yang sangat manis. Rancang kewangan dari sekarang agar kelahiran si kecil memberikan lebih makna kepada kehidupan anda.

Badrul

Badrul Amin, a history graduate from the National University of Malaysia and likes to study current issues.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button