HARTANAH

Melabur Dalam Hartanah Boleh Mendatangkan Kelebihan Yang Anda Tidak Jangka

Ramai yang menganggap bahawa pelaburan hartanah adalah untuk orang kaya sahaja. Perkara ini adalah kerana ianya seringkali memerlukan deposit yang banyak, gaji yang tinggi, kajian yang menyeluruh dan penyediaan dokumen sokongan yang banyak untuk melakukannya.

Tetapi, pada masa kini sudah ramai orang yang mula menunjukkan minat dalam pelaburan hartanah berikutan perkembangan dan informasi berkenaannya yang semakin meluas terutamanya di media-media sosial.

Namun, apakah yang sebenarnya yang menyebabkan mereka ingin melabur dalam hartanah?

Oleh itu, disini kami akan kongsikan beberapa kelebihan yang anda boleh dapat jika melabur dalam hartanah yang mungkin boleh membantu anda untuk mengharungi kehidupan yang semakin mencabar pada hari ini.

  1. Menjana Pendapatan Pasif

Pendapatan dari pelaburan hartanah boleh diterima melalui dua sumber utama iaitu sewa dan kenaikan harga rumah. Jika sewa yang anda letak melebihi bayaran kepada bank serta kos-kos lain, lebihan tunai tersebut boleh dijadikan sebagai pendapatan pasif anda setiap bulan yang semestinya mampu mandatangkan keuntungan kepada anda.

 Tetapi, mungkin anda tertanya-tanya bagaimana jika sewa yang diterima lebih rendah dari bayaran kepada bank?

Bagaimana jika tiada siapa yang ingin menyewa rumah tersebut?

Sebab itu dalam pelaburan hartanah anda perlu melakukan kajian yang menyeluruh sebelum buat keputusan untuk beli rumah tersebut sama ada ianya boleh mendatangkan keuntungan ataupun berkemungkinan membawa kerugian kepada anda.

Antara kajian yang anda boleh lakukan adalah dengan menyemak kadar sewa semasa di kawasan tersebut dan bandingkan dengan bayaran bulanan kepada pihak bank. Anda juga boleh belajar banyak lagi cara dan teknik kajian dalam pelaburan hartanah di dalam seminar Asas Pelaburan Hartanah yang semakin banyak ditawarkan pada hari ini.

Selain pendapatan yang anda terima dari sewa rumah setiap bulan, anda juga boleh mendapat keuntungan melalui kenaikan harga rumah.

Ini kerana setiap tahun, harga rumah berkemungkinan akan terus naik bergantung kepada lokasi dan permintaan rumah tersebut. Rumah yang berada di kawasan yang terkenal seperti Lembah Klang misalnya akan mengalami kenaikan harga rumah sangat tinggi dan laju dari masa ke masa.

Contoh yang berlaku adalah rumah teres di Bukit Tinggi, Klang apabila harga mula dijual pada tahun 2010 adalah RM300,000 dan kini sudah mencecah RM1,000,000. Perbezaaan kenaikan harga rumah akan menjadi keuntungan untuk anda miliki selepas rumah terserbut berjaya dijual.

  1. Mengumpul Dan Menambah Aset

Ramai yang sering tertanya-tanya mengapa kita perlu kumpul aset?

Bagaimana aset dapat membantu meningkatkangaya hidup kita?

Pemilikan aset atau hartanah berbentuk rumah secara amnya memang satu perkara yang sukar untuk dimiliki jika tiada ilmu tentang pemilikan tersebut. Tujuan utama kita membeli rumah kebiasannya adalah untuk dijadikan tempat perlindungan.

Dengan aset yang kita miliki hari ini, ia bukan sahaja boleh digunakan untuk keperluan kita malah generasi akan datang juga akan mendapat manfaat.

Ini kerana dengan kenaikan harga rumah yang terlalu tinggi, generasi akan datang mungkin akan menghadapi masalah untuk memiliki rumah sendiri. Andalah yang seharusnya memiliki lebih banyak aset yang mampu milik untuk dijadikan sebagai aset bagi generasi anda yang akan datang.

Selain itu, dengan memiliki aset sendiri, anda sebagai seorang atau bakal bergelar suami juga dilihat telah berjaya menyediakan satu tempat perlindungan kepada isteri, anak-anak dan keluarga anda jika sesuatu berlaku terhadap diri anda yang tidak dijangka. Oleh itu, mereka tidak perlu lagi untuk menyewa jika rumah tersebut telah dibayar menggunakan pampasan takaful pinjaman perumahan.

Tambahan lagi, sebenarnya melalui pelaburan hartanah ini anda boleh melakukan banyak amal dan boleh membantu orang lain. Sesetengah dari pelabur hartanah memang mahukan keuntungan dalam pelaburan ini namun anda boleh jadikan rumah anda sebagai tempat perlindungan orang lain dengan kadar yang lebih murah atau menginfakkan rumah kediaman anda untuk dijadikan sekolah atau rumah-rumah kebajikan. Perkara ini semestinya akan mendatangkan seribu satu kebaikkan kepada orang yang memerlukan.

  1. Mengaut Keuntungan Yang Berlipat Ganda.

Satu lagi kelebihan melabur dalam hartanah ini adalah anda hanya perlu sediakan 10% sahaja dari harga rumah dan selebihnya iaitu 90% akan dibayar oleh pihak bank. Perkara Ini adalah satu teknik yang dinamakan ‘leveraging’.

Jika anda mempunyai RM50k contohnya, anda mungkin boleh beli duabuah rumah yang bernilai RM250K setiap satu. Lebih menarik lagi, dalam pelaburan hartanah anda juga boleh menggunakan duit akaun 2 KWSP untuk dijadikan sebagai deposit rumah tersebut.

Malah, anda juga boleh membeli rumah dengan deposit kurang dari 10% jika anda mahir untuk menilai harga hartanah semasa. Ini dapat membantu orang ramai yang mempunyai masalah tidak mempunyai deposit 10% tetapi ingin melabur dalam hartanah.

Selain itu, kos pemilikan aset tersebut juga akan dibayar oleh orang lain jika sewa rumah tersebut melebihi bayaran bulanan kepada pihak bank.

Ini adalah salah satu tabiat orang kaya atau jutawan dimana mereka lebih gemar berbelanja menggunakan ‘duit orang lain’ tetapi  sebenarnya mereka mengaut keuntungan melalui pelaburan yang mereka lakukan.

  1. Membina Networking Yang Lebih Baik

Akhir sekali, melalui pelaburan hartanah ini anda bukan sahaja boleh mendapat keuntungan, malah anda boleh berkenalan dengan ramai orang yang terlibat secara langsung dalam pelaburan ini. Antara pihak yang terlibat seperti pegawai bank, ejen hartanah, peguam dan juga penilai. Mereka semestinya akan memberikan pengetahuan yang sangat berguna dan bernilai kepada anda terutamanya berkaitan ilmu hartanah ini.

Selain itu, anda juga boleh berkenalan dengan pelabur hartanah lain yang mungkin mempunyai teknik dan cara pelaburan mereka sendiri yang akan menambahkan lagi pengetahuan anda. Melalui networking inilah anda dapat belajar banyak perkara dari orang lain.

Networking pada hari ini sangatlah penting untuk membantu anda untuk lebih berjaya dalam pelbagai perkara termasuklah pelaburan hartanah. Ini kerana pengetahuan sahaja tidak akan menjamin kejayaan anda di dalam bidang ini.

Jika mempunyai pengetahuan dan networking yang baik, anda akan lebih mudah untuk mendapat rumah yang sangat murah, lebih mudah untuk lulus pinjaman perumahan dan lebih penting lagi apabila proses jual beli rumah anda dapat diselesaikan dengan cepat.

Oleh itu, melakukan pelaburan hartanah pada hari ini tidak semestinya memerlukan anda untuk menjadi orang yang kaya barulah anda boleh memulakannya. Tetapi, ia hanya memerlukan keberanian mengambil risiko, pengetahuan dan ilmu yang cukup dan persediaan yang rapi untuk memastikan perkara yang anda lakukan itu boleh mendatangkan kebaikkan dan keuntungan kepada diri dan keluarga anda.

Admin NK

Seorang penulis kewangan dan pelaburan santai untuk bacaan umum. Peminat setia pelaburan saham dan hartanah.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button